Thursday, December 20, 2012

SYARIAT ISLAM MENANGANI PERMASALAHAN AKHLAK

1. TAKRIFAN
Menurut bahasa: Perkataan akhlak berasal daripada perkataan (al-khulq) bererti tabiat,kelakuan, perangai, tingkahlaku, adat kebiasaan, malah ia juga bereti agama itu sendiri. Perkataan (al-khulq) ini di dalam Al-Quran hanya terdapat pada dua tempat sahaja, antaranya ialah:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai berbudi pekerti (akhlak) yang amat mulia.” [Surah Al-Qalam:4]
Menurut istilah:
Antara definasi akhlak menurut istilah ialah: sifat yang tertanam di dalam diri yang dapat mengeluarkan sesuatu perbuatan dengan senang dan mudah tanpa pemikiran, penelitian dan paksaan.
Ibn Miskawaih, ahli falsafah Islam yang terkenal mentakrifkan:
Akhlak itu sebagai keadaan jiwa yang mendorong ke arah melahirkan perbuatan tanpa pemikiran dan penelitian.
Hujjahtul Islam Al-Imam Al-Ghazali mengatakan:
Akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syara dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk.
2. KES-KES KEROSAKAN AKHLAK DALAM MASYARAKAT
Keruntuhan akhlak seringkali dikaitkan dengan masalah kebejatan sosial dan kecelaruan tatacara hidup masyarakat. Dewasa ini, kes zina, buang bayi, hubungan sesama jenis (gay/lesbian), pelacuran, rempit, buli, video lucah, gangsterism, dadah, hidu gam, hedonism, pengkid, punk, skinhead, black metal dan seumpamanya semakin menjadi-jadi menyerlahkan betapa keruntuhan akhlak dalam sistem masyarakat Malaysia adalah ditahap meruncing. Kerosakan akhlak tidak hanya berlaku di kalangan remaja, bahkan ianya melanda semua generasi masyarakat dari pelajar sekolah rendah hingga mereka yang menjangkau usia emas, juga dari rakyat biasa hingga membawa kepada pemimpin negara.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim membongkar bahawa sebanyak 60 peratus gadis hilang dara menjelang umur 18 tahun, dalam satu soal selidik yang membabitkan 2, 800 responden berusia 15 hingga 25 tahun yang dijalankan di sebuah universiti tempatan dengan portal YouthSays.com. Tambahan daripada hasil kajian itu juga mendapati bahawa 24 peratus daripada mereka mengaku pernah melakukan seks dengan lima kekasih. Selain itu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) merekodkan purata pasangan Islam bercerai pada 2009 adalah setiap 15 minit.
Beberapa contoh mengenai kebejatan akhlak masyarakat dewasa ini dipaparkan sebagai rujukan bagi memahami realiti yang dihadapi kini:
Kes tiga remaja melayu yang beragama Islam ditangkap kerana membuat persembahan tarian tiang di Nilai pada Mac 2012 yang lalu merakamkan betapa soal halal dan haram tidak diambil kira dalam mencari rezeki. Ketiga-tiga remaja ini, Faiqah Azizan, Nurul Huda Abdul Rahman dan Nooranishah Mohamad Isa kemudiannya dibicarakan dan didenda sebanyak RM25 oleh Mahkamah Majistret Seremban.
Seorang pelajar tajaan Petronas, Ariff Alfian Rosli berasal dari Wangsa Maju yang menuntut dalam bidang perubatan di Dublin Ireland berkahwin dengan pasangannya sesama jenis. Sebelum itu dia dilaporkan tidak dapat dihubungi oleh keluarganya selama 3 tahun. Ini menambahkan lagi parah umat akhir zaman yang telah tergelincir dari panduan syariat Islam.
Malang sekali kes-kes yang berbaur seks dan lucah menjadi berita hangat yang dipaparkan oleh akhbar (Harian Metro, Kosmo dan Utusan Malaysia) dengan begitu terperinci juga menyumbang kepada satu bentuk pemikiran yang rosak di kalangan masyarakat Malaysia. Walaupun ianya dikatakan sebagai paparan berita, tetapi melaporkan dengan terperinci berserta gambar yang tidak senonoh yang boleh ditatapi oleh segenap lapisan umur pastinya bakal mempengaruhi corak pemikiran pembacanya.
3. PUNCA-PUNCA PENDORONG KEMUSNAHAN AKHLAK
Punca-punca berlakunya kemusnahan akhlak perlulah di perhalusi sebelum kita mengambil jalan penyelesaiannya.
i. Golongan-golongan yang bermasalah ini sebenarnya boleh dikatagorikan sebagai golongan Mustadh’afin atau yang tertindas kerana mereka didesak oleh sistem sosial yang tidak betul yang menyebabkan mereka dinafikan hak untuk hidup lebih selesa dan mendapat pendidikan yang lebih sempurna. Sistem ekonomi kapitalis yang sangat liberal membenarkan sekelompok manusia mengawal sistem ekonomi untuk mengumpul kekayaan (monopoli). Lantaran itu, golongan miskin ini hampir mustahil untuk mendapatkan hak yang sama seperti si kaya raya. Mereka berkerja kuat sekadar untuk mempertahankan hidup, mengejar material semata, bukannya mempertingkatkan kualiti hidup. Apalah yang terdaya oleh si miskin untuk menguruskan rumahtangga dengan cemerlang kerana mencari sesuap nasi itu lebih penting daripada memerhatikan tingkah laku anak-anak dan memberikan pendidikan yang sempurna. Dengan lain perkataan, “Kais pagi, makan pagi dan kais petang belum tentu boleh makan”.
ii. Kompleks membeli belah dan lokasi-lokasi seumpamanya yang menyediakan tempat melepak sambil berhibur menjadi lokasi membiaknya gejala keruntuhan akhlak ini. Tempat-tempat seperti ini dibina atas dorongan mahu mencari keuntungan oleh golongan-golongan tertentu yang sanggup menggadaikan maruah bangsa dan negara semata-mata kerana ringgit. Disinilah semua pengamal-pengamal gejala sosial yang bermacam-macam jenis itu berkumpul dan bertukar-tukar fikiran untuk menghasilkan satu ‘Budaya Syaitan’ yang lebih tulen sehingga timbulnya fahaman-fahaman syaitan seperti Jangan Ikut Tuhan (JIT), Black Metal, Ghotic, Punk, Skinhead dan sebagainya. Bukan setakat itu sahaja, tempat-tempat hiburan seperti ini juga menjadi tempat mereka mengkader orang lain untuk jadi seperti mereka. Selepas puas berhibur, mereka melepak pula di tempat yang sesuai dengan penyakit sosial yang lain. Penagih dadah dan penghidu gam di rumah-rumah usang, belen (dulunya disebut bohsia) dan pelacur di lorong-lorong belakang dan mat rempit / minah rempit di jalan-jalan raya strategik untuk mereka berlumba.
iii. Budaya bangsa timur yang pemalu telah terhakis kerana terpengaruh dengan budaya barat yang liberal dan sangat bebas. Wujud golongan-golongan Liberal yang bergerak dalam organisasi yang teratur seperti Sister In Islam (SIS) yang melaung-laungkan penolakan penguatkuasakan undang-undang moral agama kerana menurut mereka, undang-undang tersebut melanggar kebebebasan dan hak asasi manusia. Lebih parah lagi, keadaan ini menghasilkan satu fenomena dimana mungkar itu menjadi sebuah norma masyarakat yang dianggap biasa dan tidak mencacatkan. Apa yang sangat merunsingkan adalah apabila sesuatu kemungkaran itu menjadi aliran yang dapat diterima sebagai sesuatu nilai yang dirasionalkan dan juga sebagai suatu perkembangan yang neutral.
iv. Media memainkan peranan penting dalam penyebaran kesesatan. Filem-filem Hollywood dan Bollywood yang mempromosikan gaya hidup bebas, boros, dan sekular menjadi senjata yang paling ampuh untuk menyesatkan umat Islam. Ditambah pula dengan bahan-bahan cetak pisican yang berbentuk hiburan dan lucah yang berlambak-lambak dipasaran dengan harga yang murah. Maka antara natijahnya, pemahaman seks bebas yang salah oleh remaja-remaja yang mana mereka menganggap seks bebas adalah seks yang dilakukan dengan ramai pasangan manakala seks yang dilakukan dengan teman lelaki adalah sesuatu yang tidak salah atas hak cinta ‘suci’ mereka. Mereka tidak memandang isu ini dalam konteks pemahaman agama. Ini kerana pemahaman agama tidak diterapkan dalam diri mereka. Pendidikan seks yang diajar dalam majalah-majalah yang mudah didapati dikedai-kedai tanpa pendekatan agama hanya akan menggalakan remaja ingin mencuba melakukan seks.
v. Peranan media baru iaitu internet yang memuatkan di dalamnya laman-laman sosial atas talian, ruangan sembang dan sebagainya, tidak dapat tidak juga menyumbang kepada berlakunya keruntuhan akhlak di kalangan masyarakat sekiranya tidak diawasi dan dikawal.
4. SYARIAT ISLAM MENANGANI KERUNTUHAN AKHLAK.
Sumber akhlak dalam Islam tidak dapat tidak mestilah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah. Ini kerana Islam itu bukanlah agama yang bersifat upacara (ritual) tetapi Islam merupakan satu cara hidup yang lengkap dan sempurna. Berdasarkan kepada hadith yang bermaksud:
"Sesungguhnya aku diutuskan hanya semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang mulia." [Hadis riwayat Imam Malik].
dan firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai berbudi pekerti (akhlak) yang amat mulia.” [Surah Al-Qalam:4]
Perkahwinan dan rumahtangga Muslim.
Islam membentuk keperibadian seseorang itu bermula dari hubungan kedua ibubapanya yang berlandaskan syariat Islam. Perkahwinan yang diasaskan dengan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah adalah untuk menggapai matlamat sebuah keluarga muslim yang tunduk patuh kepada perintah Allah SWT. Berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Ibnu Adiy dan Ibnu Asakir daripada ‘Aisyah r.a secara marfu’ bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud:
“Pilihlah tempat yang baik untuk air mani kamu, sesungguhnya kaum wanita itu melahirkan (keturunan) serupa dengan adik beradik lelaki atau perempuannya.”
Hubungan suami isteri yang bertepatan dengan adab-adab yang disyariatkan Islam akan dikurniakan zuriat yang berkati oleh Allah SWT. Proses pendidikan itu berlangsung sedari seseorang itu berada dalam Rahim ibunya. Inilah proses pendidikan dan pembentukan akhlak dan budi pekerti seseorang itu diperingkat awal. Ibu yang mengandung disarankan agar sentiasa membaca surah-surah Al-Quran dan doa-doa yang ma’thur daripada Rasulullah SAW sepanjang tempoh kehamilan itu. Ketika dilahirkan anak-anak ini diazan dan diqamatkan agar kalimah yang mulia dan agung yang mula-mula diperdengarkan ditelingannya. Dalam membesarkan anak-anak, Islam ada metodologinya yang bersesuaian dengan perkembangan usia mereka sebagaimana hadith Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Perintahkan anak-anak kamu menunaikan sembahyang, apabila mereka telah mencapai usia tujuh tahun. Bila telah mencapai usia sepuluh tahun belum juga mahu menunaikan sembahyang, bolehlah dipukul (dalam batas-batas sebagai tindakan mendidik) dan pisahkan tempat tidur mereka.” [Diriwayatkan oleh Abu Dawud]
Pengasingan tempat tidur diantara ibubapa dengan anak hendaklah dilaksanakan selewat-lewatnya usia si anak mencapai 10 tahun dan juga diasingkan tempat tidur mereka yang berlainan jantina. Ini merupakan disiplin membentuk akhlak dalam pergaulan di antara lelaki dan perempuan, dewasa dan kanak-kanak.
Solat adalah pendinding diri seorang muslim.
Menjaga solat, solat yang ditunaikan dengan khusyu’ dan penuh tawadhu’ pasti menghalang diri seseorang dari melakukan perkara-perkara mungkar. Allah SWT berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan keji (fashya’) dan mungkar.” [Surah Al Ankabut:45]
Ini merupakan satu jaminan daripada Allah SWT. Kualiti solat dengan memahami erti setiap bicara yang dilafazkan dalam solat serta memahami setiap perbuatan dalam solat adalah merupakan jaminan bahawa seseorang itu dipelihara oleh Allah dan dapat menghalang dirinya daripada melakukan perkara-perkara mungkar. Ini diperakui oleh Rasulullah SAW berdasarkan kepada sebuah hadith yang bermaksud:
“Sesungguhnya ada seorang yang bersolat pada waktu malam. Apabila waktu pagi, dia mencuri. “Baginda menjawab: ”Sesungguhnya apa yang dibaca (solat) akan mencegahnya.” [Ahmad bin Hanbal, Musnad Al-Imam Ahmad bin Hanbal, Muassasah Qurtubah, Qahirah jil. 2. hlm. 447, no hadith 9777. Diklasifikasikan sahih oleh Shuib Al Arnaut]
Islam juga meletakkan bahawa kesemua jalan-jalan yang menuju kepada kerosakan akhlak hendaklah dibendung dan dijauhi. Islam tidak hanya melarang perlakuan zina, malah menghampiri atau cuba mendekati atau melakukan perbuatan yang menghampiri zina juga dilarang dan merupakan satu dosa. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu hampiri zina, sesunguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan jahat (membawa kerosakan).” [Surah Al Israa’: 32]
Melaksanakan perintah amar makruf dan nahi mungkar.
Seorang muslim perlulah peka dan perihatin terhadap apa yang berlaku dan dilakukan oleh anggota masyarakatnya. Seorang yang mengaku beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat perlulah melaksanakan tindakan menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran. Inilah tugas seorang muslim yang dituntut oleh Allah SWT untuk dilaksanakan samada secara individu atau berkumpulan. Sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara yang baik, serta melarang daripada Segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”[Surah Ali-Imran: 104] ,
kemudian Allah SWT berfirman mengulangi penegasan ini di dalam ayat yang seterusnya yang bermaksud:
”Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma'ruf, dan mencegah dari yang munkar, dan beriman kepada Allah. sekiranya ahli Kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik.”[Surah Ali-Imran : 110]
Seorang muslim yang melihat kemungkaran di hadapan matanya hendaklah mengambil tindakan menghalangnya dengan tangan (kuasa) jika dia memiliki kekuatan itu, jika tidak dia hendaklah menegur dengan lisannya untuk memperbetulkan kemungkaran itu paling tidak pun dia hendaklah membencinya dan tidak bersekongkol dengan kemungkaran itu. Ini adalah menepati dengan apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW dalam hadithnya, Daripada Abu Said al Khudri r.a. katanya :
Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : "Sesiapa dikalangan kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah dia mencegah dengan tangannya sekiranya dia tidak mampu hendaklah dia menegah dengan lidahnya, sekiranya dia tidak mampu maka dengan hatinya, dan itulah selemah-lemah iman.” [Riwayat Muslim]
Peranan anggota masyarakat dalam usaha menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran adalah satu bentuk kebajikan yang dituntut dalam Islam demi untuk menjelmakan ahli masyarakat yang berakhlak mulia. Inilah satu bentuk gotong royong atau kerjasama yang bernilai tinggi dan mendapat redha Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud:
“Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam perkara membuat kebajikan dan taqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan perkara dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksanya.” [Surah Al Maidah: 2]
Hukuman Diletakkan Bagi Menjaga Akhlak
Di samping menggalakkan manusia melaksanakan hal-hal yang diperintahkan, Islam tidak pula melupakan adanya kekuasaan dan penggunaan kekerasan terhadap perlanggaran peraturan dalam berakhlak. Itulah sebabnya diadakan hukuman hudud, qisas dan ta’zir. Adakah akhlak merupakan sesuatu perkara yang beku yang tidak mampu diubah, sebagaimana sifat tubuh badan yang tidak boleh diubah? Ataupun adakah akhlak mampu dibentuk dan dicanaikan ke arah yang baik? Ulama berselisih pendapat mengenai perkara asas ini.
Walaubagaimanapun, majoritinya menegaskan bahawa akhlak boleh dibentuk. Menurut Imam Al Ghazali, merubah akhlak adalah perkara yang mungkin. Sekiranya tidak, mengapa Rasulullah SAW ada menyebut: “Perbaikilah akhlak kamu.”
Ini sekadar beberapa pendekatan yang diketengahkan dalam ruang perbahasan yang pendek ini. Sebenarnya banyak lagi pendekatan dan cara Islam menangani permasalahan keruntuhan akhlak ini dan membangunkan ketinggian akhlak dan budi pekerti manusia. Islam tidak hanya menyediakan cara penyelesaian tetapi Islam mengajar satu kaedah bagaimana akhlak manusia itu dibentuk sedari manusia itu belum dilahirkan supaya masalah sosial masyarakat itu dapat dicegah dari awalnya.
5. PENUTUP
Nilai-nilai moral masyarakat timur sedikit demi sedikit telah luntur di dalam masyarakat Malaysia tidak kira bangsa mana pun. Perkara ini perlu dipandang serius oleh kerajaan dan pihak-pihak berwajib kerana keruntuhan nilai moral masyarakat akan membawa kepada malapetaka yang besar dimasa hadapan.
Kesimpulannya, penyelesaian masalah gejala sosial ini tentu sahaja memerlukan kerjasama semua pihak untuk bersama-sama menyelesaikannya. Semuanya bergantung kepada usaha berlandaskan keimanan dan amalan yang kuat kepada Allah. Hakikatnya akar pokok yang sihat adalah akar pokok yang dibaja dan disiram mengikut keperluan dan mampu memberikan batang pokok yang punya daya tahan penyakit dan akhirnya menghasilkan daun dan buah yang ranum dan berguna buat makhluk lain.
Usaha yang padu dan sokongan daripada pelbagai pihak amatlah diharapkan bagi memastikan gejala sosial tersebut benar-benar membuahkan hasil. Mudah-mudahan usaha kita hari ini, akan membantu kita mencetak generasi muda yang positf, beriman, bertaqwa, berilmu, beramal soleh dan berkhlak mulia.

No comments:

Post a Comment