Saturday, December 29, 2012

PENCERAIAN DI MALAYSIA

1. PENDAHULUAN.
Hari ini umat Islam menghadapi berbagai rintangan dan cabaran selain menghadapi serangan pemikiran dari musuh-musuh yang berbagai-bagai dari luar, mereka juga menghadapi masalah kejahilan sesetengah individu muslim dalam menguasai ilmu-ilmu Islam itu sendiri. Di antaranya kejahilan mereka dalam memahami hukum-hukum yang berkaitan dengan institusi kekeluargaan dalam Islam seperti pernikahan, perceraian dan kesan-kesannya.
Peningkatan perceraian sebagaimana yang dilaporkan oleh pihak yang berkuasa agama dan juga peningkatan krisis rumahtangga, di samping kes-kes penderaan isteri dan anak yang tidak berkesudahan, cukup membimbangkan kita dewasa ini. Keruntuhan institusi keluarga adalah antara punca yang dipercayai mencetuskan fenomena ini.
Keadaan ini memerlukan umat Islam meninjau kembali sejauh manakah pengiltizaman terhadap peraturan-peraturan yang terdapat dalam system kekeluargaan Islam. Sistem kekeluargaan Islam adalah satu system yang unik. Ia bertujuan mengatur hubungan secara lebih sistematik berteraskan syariat antara keluarga lelaki dengan keluarga perempuan terlibat. Motif pembinaan keluarga dalam Islam adalah berpaksikan ‘aqidah tauhid dan bertujuan melakukan ibadah. Andaikata masyarakat Islam di zaman ini mengikuti dan mengamalkan segala yang diutarakan dalam system kekeluargaan Islam ini, sudah pasti mereka akan mengecapi hidup bahagia bukan sahaja di dunia malah juga di akhirat.
2. DEFINISI PERKAHWINAN.
Perkahwinan atau nikah menurut bahasa ialah berkumpul dan bercampur. Menurut istilah syarak pula ialah Ijab dan Qabul (‘aqad) yang menghalalkan persetubuhan antara lelaki dan perempuan yang diucapkan oleh kata-kata yang menunjukkan nikah, menurut peraturan yang ditentukan oleh Islam. Perkataan zawaj digunakan di dalam al-Quran bermaksud pasangan dalam penggunaannya perkataan ini bermaksud perkahwinan Allah SWT menjadikan manusia itu berpasang-pasangan, menghalalkan perkahwinan dan mengharamkan zina.
3. DEFINISI PERCERAIAN ATAU TALAK.
Di dalam Islam, perceraian merupakan sesuatu yang dilaknat oleh Islam tetapi diharuskan dengan alasan dan sebab-sebab tertentu. Perceraian boleh dilakukan dengan cara talak, fasakh dan khuluk atau tebus talak.
(i) Talak menurut bahasa bermaksud melepaskan ikatan dan menurut syarak pula, talak membawa maksud melepaskan ikatan perkahwinan dengan lafaz talak dan seumpamanya. Talak merupakan suatu jalan penyelesaian yang terakhir sekiranya suami dan isteri tidak dapat hidup bersama dan mencari kata sepakat untuk mecari kebahagian berumahtangga. Talak merupakan perkara yang dibenci Allah s.w.t tetapi dibenarkan.
(ii) Fasakh menurut bahasa ialah rosak atau putus. Manakala menurut syarak pula, pembatalan nikah disebabkan oleh sesuatu sifat yang dibenarkan syarak, misalnya, perkahwinan suami isteri yang difasakhkan oleh kadi disebabkan oleh suaminya tidak mempu memberi nafkah kepada isterinya. Fasakh tidak boleh mengurangkan bilangan talaknya. Fasakh hanya boleh dituntut oleh isteri sekiranya terdapat beberapa sebab atau kecacatan yang terdapat pada pihak suaminya.
Mengikut mazhab Shafie, seorang isteri boleh menuntut fasakh melalui kadi atau mahkamah disebabkan oleh kekurangan suaminya seperti gila (berkekalan atau sekejab); penyakit kusta; penyakit sopak; penyakit yang menghalang mereka daripada melakukan persetubuhan; suami tidak mampu memberi nafkah belanja kepada isterinya seperti makan dan minum serta tempat tinggal, pakaian, memberi mahar dengan cara tunai sebelum bersetubuh kerana kepapaan atau muflis atau sebagainya; suami tidak bertanggungjawab dengan meninggalkan isterinya terlalu lama dan tidak memberi khabar berita; suami yang menzalimi dan memudaratkan isterinya; suami yang fasik serta melakukan maksiat terhadap Allah dan tidak menunaikan kewajipan kepada Allah; dan murtad salah seorang (suami atau isteri).
(iii) Perpisahan antara suami dan isteri melalui tebus talak sama ada dengan menggunakan lafaz talak atau khuluk. Pihak isteri boleh melepaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan mereka jika ia tidak berpuas hati atau lain-lain sebab. Pihak isteri hendaklah membayar sejumlah wang atau harta yang dipersetujui bersama dengan suaminya, maka suaminya hendaklah menceraikan isterinya dngan jumlah atau harta yang ditentukan.
Hukum khuluk adalah berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: “Tidak halal bagi kamu mengambil apa-apa yang telah kamu berikan kepada mereka suatu jua pun, kecuali jika takut kedua-duanya tidak akan mengikut peraturan Allah s.w.t.. Jika kamu takut bahawa tidak akan mengikut peraturan Allah maka tiadalah berdosa kedua-duanya tentang barang yang jadi tebus oleh perempuan.” [Al Baqarah:229] Talak boleh jatuh dengan menyebut “Saya menceraikan kamu dengan bayaran RM 10,000,” dan isterinya menjawab, “Saya menerimanya.” Apabila suami melafazkan demikian, dan isterinya menyahut tawaran itu, dengan serta-merta jatuhlah talak dengan khuluk dan isterinya wajiblah beridah. Suami isteri hanya boleh merujuk dengan akad nikah baru sahaja.
4. STATISTIK PERCERAIAN.
Merujuk kepada Al-Quran, Firman Allah SWT yang bermaksud:
"Pergaulilah isterimu dengan baik, sekiranya kamu benci kepada mereka, boleh jadi ada yang kamu benci itu Tuhan akan menjadikan kebaikan yang banyak padanya." [An Nisa':19]
dan juga hadis Rasulullah SAW:
Dari Ibnu Umar r.a telah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Perbuatan halal yang dimurkai Allah ialah talak" [Riwayat Abu Daud dan Hakim]
Ayat Al-Quran dan Hadis di atas ini dengan jelas memberikan kita penjelasan bahawa perceraian merupakan suatu perkara yang paling dibenci oleh Allah SWT. Agama Islam tidak mengalakkan umatnya bercerai berai, kerana ia akan mengakibatkan implikasi yang negatif kepada pasangan itu sendiri, anak-anak, keluarga mahupun masyarakat amnya.
Berdasarkan statistik perceraian menurut sumber daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bilangan perceraian bagi Orang Islam dan Orang Bukan Islam bagi tahun 2000 hingga 2007 adalah seperti berikut:
Statistik Perceraian di Malaysia
Tahun | Orang Islam | Orang Bukan Islam
2000 | 13,536 | 1,613
2001 | 13,187 | 3,238
2002 | 13,841 | 3,793
2003 | 15,543 | 3,318
2004 | 16,509 | 3,291
2005 | 17,708 | 3,804
2006 | 21,419 | 5,747
2007 | 20,529 | 4,335
Sumber: JAKIM dan Jabatan Pendaftaran Negara
Manakala menurut Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mashitah Ibrahim, statistik daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada tahun 2009 menunjukkan berlaku satu perceraian pada setiap 15 minit di kalangan umat Islam.
Beliau berkata jumlah itu meningkat daripada tahun ke tahun akibat daripada kurangnya penghayatan agama di kalangan suami isteri termasuk mengabaikan solat.
“Jika solat lima waktu sehari semalam tidak dapat dilaksanakan, sudah tentu dapat kita bayangkan mereka juga sukar untuk melaksanakan peranan dan tanggung jawab sebagai suami dan isteri,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar sempena Maulidur Rasul1432H: Rasulullah Ikon Keluarga Bahagia di Putrajaya.
Amanah dan tanggungjawab ini hanya dapat dilaksanakan oleh kedua pasangan suami isteri dengan baik dan sempurna, jika keduanya menjadikan dasar ikatan atau perjanjian yang suci ini dengan bersumberkan iman dan taqwa kepada Allah swt. Selagi kedua pasangan ini menjadikan sumber pegangan mereka berpandukan dengan ajaran Islam, Insya Allah tujuan dan matlamat perkahwinan yang didambakan akan berkekalan hingga ke akhir hayat mereka.
5. FAKTOR DAN KESAN AKIBAT BERLAKUNYA PERCERAIAN
Banyak faktor yang menyebabkan berlakunya perceraian dalam sesebuah perkahwinan. Antaranya ialah ketidaksefahaman dan kurangnya sifat tolak ansur antara suami isteri. Perceraian juga mungkin berlaku disebabkan oleh pasangan masing-masing yang tidak dapat memuaskan tuntutan kehendak semasa melakukan hubungan seksual. Selain itu faktor ekonomi dan jurang pendapatan juga menjadi punca penceraian, dan paling utama jika si suami tidak bertanggungjawab dan mendera isteri atau isteri yang berlaku curang dan lain-lain faktor lagi.
Perceraian membawa banyak kesan negatif bukan sahaja kepada suami isteri malah anak-anak juga merasa bahang panas akibat daripada perceraian ibu bapa. Maka dengan sebab itu perceraian ini merupakan cara terakhir sekali dan sangat tidak digalakkan dalam islam.
Antara kesan akibat perceraian ialah kesan emosi terhadap pasangan seperti perasaan sedih, jiwa terganggu, rasa tidak bermaya, marah, rungsing dan kecewa serta kesunyian akan membebani perasaan pasangan yang bercerai. Malahan kesan ini juga turut dirasai oleh ahli keluarga dan orang yang terdekat dengan mereka.
Selain itu, mereka yang melalui proses perceraian juga akan dibebani dengan tanggungjawab yang lebih berat dan mungkin akan timbul masalah kewangan. Ini lebih dirasai oleh si isteri jika dia bergantung sepenuhnya kepada suami untuk perbelanjaan harian.
Malah kesan yang paling ketara dan sangat membimbangkan ialah kesan terhadap anak-anak.
Mereka menjadi mangsa keadaan dan mengalami tekanan perasaan yang sangat mendalam dalam proses pembesaran. Mereka mengalami ganguan emosi kerana kurang mendapat kasih sayang serta mereka juga kurang mendapat perhatian dan bimbingan daripada kedua-dua ibu bapa setelah penceraian berlaku.
Oleh kerana itu, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk membantu anak-anak menghadapi kenyataan bahawa mereka tidak dapat bersama seperti dulu lagi atau telah berpisah. Jangan menganggap anak-anak tidak tahu apa-apa, mereka masih mentah kerana setiap apa yang berlaku melibatkan kehidupan mereka kerana anak-anak adalah sebahagian daripada ahli keluarga.
Ibu bapa harus bijak menangani perasaan sedih yang dialami oleh anak-anak serta elakkan perbalahan sekiranya terpaksa bersua muka dengan bekas pasangan hidup masing-masing. Berilah peluang kepada anak-anak untuk meluahkan apa yang terpendam dalam hati mereka dan pandangan mereka akibat daripada penceraian ini.
Jangan biarkan anak-anak melalui hidup tanpa ada kawalan atau perhatian kerana ini akan menjadikan mereka hilang arah tujuan dan hanyut seperti kata perpatah Melayu “ibarat layang-layang terputus tali” dan “seperti anak ayam kehilangan ibu” - merata perginya tanpa ada tujuan dan pedoman hidup.
6. KESIMPULAN.
Institusi kekeluargaan yang mantap dan padu merupakan asas untuk membentuk masyarakat madani yang akan membiaskan cermin kehidupan harmoni serta penuh kedamaian zahir dan batin. Jika sistem kekeluargaan Islam terhakis oleh budaya materialistik dan hipokrit, maka akan runtuhlah sendi-sendi kekuatan Islam sehingga menjadi puing-puing yang terbuang di pinggiran dalam arus perkembangan zaman.
Untuk memulihkan kembali roh Islam dalam segala aspek kehidupan yang kian dimamah using oleh nafsu serakah, maka umat Islam harus kembali kepada pemantapan institusi kekeluargaan. Sesungguhnya institusi kekeluargaan Islam akan dapat mengubati segala penyakit masyarakat yang semakin hari semakin serius untuk menuju ke pintu kehancuran. Kerapuhan dalam institusi kekeluargaan akan melahirkan masyarakat yang kerdil dalam berfikir, berjuang, jumud, rakus, terlalu cintakan dunia dan tidak bermoral.

No comments:

Post a Comment