Saturday, December 15, 2012

DUALISMA DALAM SISTEM PENDIDIKAN

1. PENDAHULUAN
Pendidikan merupakan suatu perkara yang amat penting dan mencabar dalam kehidupan manusia. Tanpa pendidikan manusia tidak akan mengenal huruf, tidak mampu membaca dengan baik dan tidak mungkin mempunyai pengetahuan samada secara formal ataupun informal. Tuntutan supaya menuntut ilmu ini ternyata mempunyai nilai yang amat tinggi bilamana ayat Al-Quran yang mula-mula sekali diturunkan kepada Rasulullah SAW adalah berkenaan kepentingan menuntut ilmu. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekelian makhluk). Ia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Ia mengajar manusia apa yang tidak diketahuinya.” [Al-‘Alaq: 1-5] Permasalahannya ialah apabila tamadun manusia berkembang, tradisi keilmuan itu mula terpisah dua yang mengasingkan konsep ilmu duniawi dengan ukhrawi. Inilah yang dikatakan dualisma dalam sistem pendidikan. Sistem dualisma dalam pendidikan boleh dikatakan digunapakai oleh hampir kesemua negara umat Islam. Natijahnya, wujudnya dua generasi yang saling bertentangan dalam membangunkan masyarakat. Untuk melahirkan sebuah masyarakat yang mempunyai keseimbangan di antara duniawi dan ukhrawi, usaha-usaha perlu dilakukan untuk menjadikan sistem dualisma ini bergabung menjadi satu (integrasi).
2. TAKRIFAN
1.1 Definisi Dualisma
Menurut Kamus Dewan Edisi Baru (cetakan ketiga, 2002), istilah dualisma membawa maksud ‘teori yang berasaskan dua dasar yang berlainan’ atau ‘perihal yang mendua, sesuatu yang berasaskan dua hal yang bertentangan.’
1.2 Definisi Pendidikan
Sementara pendidikan pula membawa makna ;
(i) Bahasa - Proses belajar dan mengajar; pengalaman menerima (ajaran, latihan, didikan); bentuk, kaedah, perihal mendidik (dalam ajaran, latihan, didikan). (Kamus Bahasa Melayu, 1997).
(ii) Barat – Segala proses memajukan sikap serta nilai baik yang menjadi amalan dalam sesebuah masyarakat kepada setiap individu yang hidup dalam kelompok tersebut.
(iii) Humanis – Suatu proses mental, emosi dan perkembangan moral yang terus menerus sebagai permulaan kea rah kualiti kehidupan yang membantu manusia untuk melihat perbezaan perundangan dan hubungkait berbagai-bagai pandangan di antara satu sama lain.
(iv) Islam – Al-Tarbiyah, yang berasal dari akar kata ‘Rab’ yang memberi dua makna iaitu,
(i) Tuhan dan
(ii) Yang mendidik alam.
(v) Prof Hassan Langgulung – Merubah dan memindahkan nilai-nilai kebudayaan kepada setiap individu masyarakat melalui berbagai proses.
3. DUALISMA DALAM PENDIDIKAN
Berikut ialah beberapa pandangan berkenaan dengan dualisma dalam system pendidikan:
(a) ...wujudnya dua sistem pendidikan yang berbeza iaitu sistem pendidikan tradisional Islam dan sistem pendidikan moden. Sistem pendidikan tradisional Islam lebih menumpukan perhatiannya terhadap ilmu-ilmu keagamaan semata-mata dengan mengabaikan ilmu-ilmu moden. Manakala sistem pendidikan moden hanya menitikberatkan ilmu-ilmu moden dengan mengabaikan ilmu-ilmu keagamaan. (Abdul Halim Ramli, dalam rencana tulisannya, Memecah Dualisma Harmoniskan Ilmu : Reformasi Sistem Pendidikan Menurut Perspektif Syeikh Mohamad Abduh dan Sayyid Ahmad Khan).
(b) ...masalah masyarakat Islam rata-rata, bukan sahaja di Malaysia, ialah kita telah mewujudkan dualisma di antara ilmu wahyu atau naqliah dengan ilmu aqliah ataupun ‘sciences’. (Dato’ Seri Najib Tun Razak, bekas Menteri Pendidikan Malaysia, kini Perdana Menteri Malaysia).
(c) ...program pendidikan yang dimajukan di Barat tidak sesuai untuk masyarakat negara ini kerana program tersebut mengamalkan prinsip dualisme dan sekularisme yang memisahkan ilmu keduniaan dan ilmu agama. (Nik Azis Nik Pa, dalam bukunya, Program Pendidikan pintar Cerdas : Teori dan Praktik).
Berdasarkan tiga definisi di atas, dualisma dalam pendidikan secara ringkasnya ialah pengasingan di antara ilmu agama dengan ilmu selain agama, iaitu ilmu yang mempunyai berbagai definisi; ilmu moden oleh Abdul Halim Ramli, ilmu sains oleh Dato’ Seri Najib dan ilmu keduniaan oleh Nik Azis.
4. DUALISMA MENURUT PERSPEKTIF SEJARAH MALAYSIA (TANAH MELAYU)
Malaysia juga tidak terkecuali daripada menerima sistem pendidikan bersifat dualisma. Pada awalnya, negara telah diperkenalkan terlebih dahulu dengan Sistem Pendidikan Tradisional Islam (SPTI) sejak kurun ke 14 lagi. Ini berdasarkan dokumen sejarah seperti (Sejarah Melayu) dan (Hikayat Abdullah) yang membuktikan SPTI berterusan sehingga kurun ke 19.
Penjajahan barat merupakan faktor utama dalam perlaksanaan konsep dualisma dalam pendidikan di Malaysia khususnya dan rantau kepulauan Melayu amnya. Kesemua kuasa barat ketika itu, British, Belanda dan juga Portugis membawa misi yang sama iaitu menanam doktrin pemisahan di antara ilmu wahyu dan ilmu yang berbentuk pembangunan duniawi. Inilah matlamat utama mereka dan mereka hanya berselindung di sebalik aktiviti perdagangan rempah ratus. Sedangkan menurut Islam, apa sahaja disiplin ilmu ianya adalah bersepadu dan saling kait mengait berdasarkan kepada petunjuk Al- Quran dan As Sunnah.
Walaupun istilah tersebut ditakrifkan dalam pengertian yang berbeza, ia tetap datang dari satu punca iaitu Barat, akibat kesan penjajahan misalannya Belanda di Indonesia, Portugis di Malaysia awalnya kemudian diambil alih oleh British yang kemudiannya juga menakluki Brunei. Apabila kuasa British bertapak, ia tidak cuma mengubah sistem politik, pentadbiran, ekonomi dan undang-undang, malah secara tidak langsung mempengaruhi sistem pendidikan tanah jajahan mereka.
Sistem Pendidikan Moden (Sekular dan Liberal) mula diperkenalkan pada lewat kurun ke 18 iaitu pada tahun 1816 dengan tertubuhnya Penang Free School di mana Bahasa Inggeris digunakan. Bertitik tolak dari situ, Dualisma dalam pendidikan di Malaysia bermula.
5. KESAN DUALISMA DALAM PENDIDIKAN
Sistem dualisma pendidikan yang dilaksanakan di negara ini memberi dua impak yang berbeza iaitu dari sudut kebaikan dan juga keburukan ke dalam masyarakat. Walaubagaimanapun sistem pendidikan dualisma ini sebenarnya lebih membawa kepada kesan negatif berbanding yang positif.
5.1 Kelebihan Dualisma
Matlamat asal yang boleh diambil sebagai kebaikan sistem dualisma ini ialah dari segi pemfokusan bidang pembelajaran yang mahu diterokai dalam melahirkan manusia-manusia yang pakar dalam sesuatu bidang.
Untuk memastikan sesuatu ilmu itu dapat dikuasai dengan mendalam dan mantap oleh para penuntutnya, penumpuan yang jitu merupakan aspek utama yang perlu dititikberatkan. Oleh yang demikian, dengan mengasingkan sesuatu ilmu dengan ilmu yang lain dapat menjamin kemantapan penguasaan ilmu seseorang individu itu.
5.2 Kelemahan Dualisma.
Secara globalnya, impak yang negatif besar kemungkinan akan wujud melebihi kesan positif sekiranya diamalkan sistem dualisma ke dalam pendidikan. Ini kerana golongan cendekiawan dan ilmuwan yang lahir dari dua sistem pendidikan yang didiskriminasikan ini akan saling bersaing antara satu sama lain, bukan dalam keadaan yang membina bahkan mungkin menjatuhkan sesama sendiri walaupun beragama Islam. Inilah yang akan menyebabkan konflik pemikiran yang tidak selari malah bertentangan dengan ajaran Islam.
i. Kualiti Masyarakat.
Tokoh pembaharuan Islam yang banyak berkecimpung dalam bidang pendidikan, Muhammad Abduh, menyatakan sistem pendidikan dualisma antara sekolah-sekolah yang hanya memberikan pelajaran pengetahuan agama yang hanya melahirkan golongan ulama-ulama yang tidak mempunyai pengetahuan ilmu-ilmu moden. Manakala sekolah-sekolah moden pula mengeluarkan ahli-ahli dalam pelbagai bidang keilmuan dan kemahiran yang sedikit pengetahuan agamanya.
Golongan cendiakawan dan ilmuwan yang lahir dari dua sistem pendidikan yang didiskriminasikan ini juga akan saling bersaing antara satu sama lain. Persaingan yang wujud pula bukanlah dalam keadaan yang membina bahkan mungkin menjatuhkan sesama sendiri walaupun beragama Islam.
Ishak Ramly (2003) juga menyatakan bahawa amalan kurikulum dualisma melahirkan individu yang mempunyai latar belakang premis orientasi yang berbeza dan akhirnya wujud manusia yang berbeza. Sekumpulan manusia lebih cenderung ke arah akhirat dan sekumpulan manusia lagi lebih cenderung ke arah dunia.
ii. Penghalang Membina Jati Diri.
Beberapa cendikiawan dan ilmuan negara mendakwa sistem pendidikan yang mengamalkan dualisma adalah factor yang paling ketara sumbangannya kepada kerapuhan jati diri remaja. Sebagai contoh, lihat dari sudut media cetak dewasa ini. Penerbitan majalah dan akhbar hiburan yang langsung tidak mengambil kira kesensitifan lunas-lunas agama. Bahkan ia langsung tidak menampakkan akan kecenderungan untuk mengutuhkan nilai dan peradaban yang sekian longgar, malah tambah menggoyah dengan pemaparan gambar-gambar yang menjolok mata, budaya berpasangan serta pergaulan bebas dikalangan remaja.
Situasi ini merupakan terhasil daripada golongan yang hanya mendapat pendidikan moden yangmana sedikit sahaja pengetahuan agamanya yang diperoleh melalui sistem pendidikan formal. Penulis, editor, para wartawan serta individu-individu yang terlibat dalam proses penerbitan majalah dan akhbar berkaitan isu ini tidak mementingkan batasan Syara’ dek sedikit cuma pengetahuan mereka tentang agama. Tidak dinafikan bahawa terdapat juga majalah-majalah serta akhbar-akhbar yang mengetengahkan unsur-unsur keIslaman, namun ianya tidak mampu mempengaruhi minda dan minat golongan belia kerana limpahan media cetak berunsur hiburan tanpa batasan itu. Oleh yang demikian, keadaan seperti ini menghalang para belia membentuk jati diri yang utuh berpegang pada agama kerana pengaruh anasir seperti ini yang sangat kuat.
iii. Kebekuan Ilmu.
Dualisma dalam pendidikan membawa kepada kebekuan ilmu. Seperti yang dijelaskan oleh Profesor Dr. Sidek Baba:
“..Pada hari ini wujud kebekuan ilmu dan tradisi berfikir yang amat ketara. Keadaan itu hingga menyebabkan umat Islam menjadi pengguna kepada kekuatan tamadun Barat. Mereka belum mampu melepasi diri untuk menyumbang ke arah pembangunan tamadun umat manusia. Namun, ia tidak bermakna ajaran Islam itu lemah atau tidak lengkap bagi mengatasi cabaran sezaman dan kerenah lingkungan. Namun, ia akibat suburnya dualisma dan sekularisasi ilmu serta pendidikan yang menyebabkan ajaran Islam sebenar atau sepatutnya terpinggir. Tradisi ‘turath’ atau bercorak tradisi tidak dapat dikembangkan bagi menghubungi metodologi berfikir kini yang lebih banyak menumpu kepada tradisi kajian dan fakta yang terputus dengan nilai tauhid dan nilai murni.”
Hal seperti ini juga dapat dilihat dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi subjek-subjek selain daripada pendidikan Islam. Ramai dalam kalangan guru-guru kini tidak mengaitkan sesuatu pembelajaran itu dengan ciptaan Allah S.W.T. Maka ini menyebabkan para pelajar hanya memperoleh ilmu berdasarkan teori barat semata-mata.
iv. Kemunduran.
Menurut Prof. Dr Abdullah @ Alwi Hassan, Ketua Jabatan Syariah dan Ekonomi Islam, Universiti Malaya, dua faktor utama yang menyebabkan umat Islam berada dalam kemunduran ialah kerana kurang ilmu dan lemah dari segi pengurusan.
Hal ini dilihat merupakan antara impak daripada dualisme dalam pendidikan di negara ini. Kurang ilmu boleh ditafsirkan sebagai individu dari aliran kebangsaan kurang mempunyai ilmu dalam bidang agama manakala individu dari sekolah aliran agama pula kurang mempunyai ilmu moden. Apabila masing-masing saling kurang dalam penguasaan ilmu, sudah pasti mereka tidak mampu untuk menguruskan sesuatu perkara dengan baik.
v. Mementingkan Satu Aspek Pendidikan.
Ianya lebih menjurus kepada pendidikan agama ataupun lebih memfokus kepada pendidikan umum. Kedua-dua jenis pendidikan tersebut tidak disatupadukan sama sekali. Akibatnya tiada keseimbangan antara pendidikan agama dengan pendidikan umum. Mereka yang menceburi bidang pendidikan agama akan lebih mahir dalam bidang keagamaan (hukum hakam, fiqh ibadat dan mu’amalat, fardhu ‘ain dan fardhu kifayah) tanpa sedikitpun mengambil berat keperluan pendidikan umum sebagai ilmu pengetahuan tambahan yang perlu ada bagi setiap individu.
Manakala mereka yang mempelajari bidang pendidikan umum seperti ilmu matematik, ilmu perubatan, sains, geografi dan sebagainya akan mempunyai kemahiran dalam bidang masing-masing tetapi tidak dicampuri dengan ajaran Islam yang syumul dan kamil. Pendidikan umum (atau pendidikan sekular) dikatakan lebih tertumpu kepada hal ehwal urusan keduniaan, sebaliknya pendidikan agama pula lebih banyak menguasai bidang ibadat dan hal ehwal akhirat. Maka atas sebab itulah pendidikan agama dipisahkan daripada pendidikan umum secara keseluruhan memandangkan faktor perbezaan tersebut.
6. KAEDAH PENYELESAIAN DUALISMA PENDIDIKAN
Sistem pendidikan dualisma ini menghasilkan suatu kesan yang negatif bagi umat Islam. Sistem pendidikan yang ada sekarang gagal memperlihatkan ciri integrasi (kesepaduan) dengan Islam. Saat ini bidang ilmu seperti matematik, sains dan lainnya seolah-olah terpisah dan tiada hubung kait dengan agama atau kepada keagungan pencipta alam ini iaitu Allah SWT. Manakala ilmu-ilmu berkaitan agama langsung tidak memasukkan hasil-hasil penemuan sains itu sebagai satu bukti keagungan Allah SWT demi mengukuhkan lagi keimanan.
Oleh kerana ilmu agama dan ilmu sains saling berkait rapat kerana mereka lahir dari sumber yang sama iaitu ilmu tuhan maka proses pengislaman ilmu amat penting supaya manusia dapat mengetahui cara untuk meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya yang sebenar. Untuk itu perlu diusahakan satu model kurikulum dan pembelajaran bersepadu yang dapat memadukan kedua-dua cabang ilmu ini.
6.1 Pendidikan Bersepadu.
Pendidikan bersepadu merupakan salah satu pendekatan yang perlu diambil untuk menyelesaikan isu dualisma dalam pendidikan.
Ia merujuk kepada pendekatan pendidikan yang komprehensif, seimbang, dinamik, relevan dan kontemporari sebagai pendekatan yang terbaik.
Ini penting untuk melahirkan generasi yang mampu melaksanakan peranan sebagai pemimpin dan berupaya berhadapan dengan cabaran-cabaran yang mendatang. Pendidikan yang bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah disamping adanya integrasi disiplin-disiplin ilmu akal ke arah membina komuniti UMMAH dengan berteraskan akidah (Forum Pendidikan Bersepadu,1984:12).
Prinsip-prinsip Pendidikan Bersepadu:
Pengenalan kepada penciptaan manusia – mengapa diciptakan, diciptakan sebaik-baik kejadian, diberi akal fikiran.
Sumber ilmu – sumber utama (Al-Quran dan As-Sunnah), maka akal dan jasmani perlulah disuburkan dengan sumber daya usaha, pengalaman dan pemikiran manusia berasaskan kawalan syarak (Abdul Halim Muhamad, 1985).
Seluruh proses pendidikan dan perkembangan ilmu tidak terpisah daripada tauhid sama ada rohani, jasmani dan akal. Metodnya adalah integrasi yang menjadikan ilmu itu bersifat kudus dan proses penerimaan ilmu itu menjadi ibadat bagi manusia. Martabat ilmu - terbahagi dua:
a. Ilmu asas iaitu pembinaan kualiti peribadi manusia meliputi roh, akal dan jasad – akidah, akhlak dan syariah – melahirkan modal insan yang menepati matlamat penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi.
b. Ilmu pelengkap – pembinaan masyarakat (kemajuan dan tamadun).
Pengisian ilmu – meliputi semua aspek bersandarkan sumber utama (Al-Quran dan As-Sunnah). Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) yang dirumuskan pada tahun 1987 mengatakan bahawa suatu pendidikan holistik itu berdasarkan kepada kepercayaan dan kesetiaan pada Tuhan, keseimbangan dan keharmonisan perkembangan intelektual individu, spiritual, fizik dan emosi dan mempunyai moral yang sangat bagus. Tauhid sebagai paksi ilmu – menyedari hakikat kejadian manusia yang bertujuan beribadat kepada Allah. Bukti penemuan sains menyuburkan keimanan kepada Allah SWT dan menjadikan manusia itu sedar akan kekuasaan Allah terhadap seluruh alam ini serta menjadikan ia seorang tunduk patuh kepada Penciptanya.
6.2 Islamisasi Ilmu Pengetahuan.
Islamisasi Ilmu Pengetahuan merupakan satu lagi kaedah penyelesaian isu dualisma dalam pendidikan. Langkah pertama yang perlu dibuat ialah setiap mata pelajaran yang dipelajari mestilah dilihat dari kaca mata Islam di mana Al Quran dan Sunnah di jadikan panduan.
Langkah kedua, segala kurikulum yang dijalankan mestilah mempunyai hubungkait secara langsung dengan Falsafah Pendidikan Islam iaitu usaha berterusan untuk menyampaikan ilmu, kemahiran dan penghayatan Islam berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah bagi membentuk sikap, kemahiran, keperibadian dan pandangan hidup sebagai hamba Allah yang mempunyai tanggungjawab untuk membangun diri, masyarakat, alam sekitar dan negara ke arah mencapai kebaikan di dunia dan kesejahteraan di akhirat.
Langkah ketiga, hendaklah dipastikan segala ilmu pengetahuan, mata pelajaran dan kursus yang ditawarkan bebas daripada anasir-anasir barat dan fahaman sekular yang bertentangan dengan prinsip-prinsip islam.
7. PENUTUP
Pendidikan yang berasaskan dualisma merupakan satu malapetaka buat umat yang mendambakan suatu corak kemasyarakatan yang baik dan berakhlak. Pendidikan yang digabungkan kombinasi di antara akal yang dipandu oleh petunjuk wahyu dan sunnah mampu untuk melahirkan satu kelompok masyarakat yang saling hormat-menghormati dengan persekitaran yang selamat.
Dualisma pendidikan menatijahkan satu bentuk tamadun yang songsang dari fitrah kejadian manusia itu, kerana ianya melahirkan satu bentuk ketamadunan yang berbentuk material dan mengenepikan sama sekali hal-hal berkaitan pembangunan insan. Apalah ertinya sebuah kemajuan atau kehebatan tamadun sesuatu bangsa atau masyarakat itu dalam masa yang sama menjerukkan jati diri ahli masyarakatnya dan rosak nilai diri dan maruahnya.
Dualisma juga melahirkan satu kepimpinan masyarakat atau negara yang diterajui oleh pemimpin yang berfikiran sekular atau pragmatik walaupun mereka mempunyai asas-asas pengetahuan Islam. Ini kerana mereka menolak adanya kaitan di antara agama (Islam) dengan hal-hal berkaitan pemerintahan (politik) dan perlaksanaan undang-undang dan ini bercanggahan dengan tujuan penciptaan manusia sebagai khalifah di muka bumi ini oleh Allah SWT. Sedangkan tugas khalifah sebagaimana yang diijmakkan oleh para mufassirin ialah menggalang ganti tugas kenabian di dalam perkara memelihara agama dan mentadbir dunia dengannya (Islam).
8. BIBLIOGRAFI
1. Hj Rose De Yusof bin Hj Mohd Ramlee ( 08M0751 ) Sarjana Pendidikan dalam Pengajian Islam Institut Pendidikan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Universiti Brunei Darussalam.
2. Nota Pengajian, Tasawwur Pendidikan Islam ILH1300, Diploma Tasawwur Islam, Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyyah (ILHAM) 2012.
3. Khairul Anwar Bin Md Yusof, EDC 5360 SEKOLAH DAN KOMUNITI, Tradisi dan Kemodenan Dalam Konteks Islam, International Islamic University Malaysia.
4. Eerma Sara http://www.scribd.com/doc/44048614/Dualisme-Dalam-Pendidikan (20/08/2012)
5. Uswatun Khasanah, S.HI, Isu-isu Dalam Pendidikan Islam http://www.scribd.com/doc/52157051/Dualisme-Dalam-Pnddkan-Resum (30/08/2012)
6. http://sarjana.tripod.com/dualisme.htm

No comments:

Post a Comment